KFA: ‘Jangan cuba nak ajar kami mentadbir’

Loading...


Susulan kontroversi pengagihan tiket perlawanan akhir Piala Malaysia esok, Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) terus mempertahankan diri daripada kritikan bertali arus.

Sinar Harian melaporkan Setiausaha Kehormat KFA Datuk Aminuddin Omar sebagai meminta mana-mana pihak jangan cuba mengajar mereka untuk mentadbir kerana persatuan itu adalah sebuah organisasi lama.

Malah, katanya, mereka telah berjaya mengangkat pasukan Kedah berada di tahap yang tinggi dan boleh dibanggakan.

Tambah beliau lagi, tiada pasukan yang mampu menandingi keupayaan pasukan Kedah dan jangan pula ada pihak tertentu yang nak hilangkan fokus pasukan dan cuba memainkan peranan tertentu hendak merosakkan pasukan ini.

Sebelum ini beratus-ratus penyokong pasukan itu berkumpul depan pejabat KFA bagi menyatakan kemarahan kerana gagal mendapat tiket bagi menyaksikan Kedah melawan JDT di Shah Alam esok.

Bekas presiden KFA, Datuk Mukhriz Mahathir menempelak pengedaran itu dengan mendakwa Pemuda Umno Kedah antara pihak yang membolot tiket itu – dakwaan yang dinafikan pergerakan pemuda umno itu.

Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Tunku Ismail Sultan Ibrahim juga menyatakan rasa kecewanya pada KFA apabila individu yang menurutnya tiada kena mengena dengan bola sepak mendapat tiket “melalui saluran tertentu”.

KFA semalam mempertahankan bahawa penjualan tiket perlawanan itu dijalankan secara telus.

Loading...