MASYALLAH.Budak Lelaki 6 Tahun Selamatkan Tiga Adiknya Dalam Kebakaran

Loading...

KOTA BAHARU – Tindakan pantas Afiq Hadi Mohd Hakimi yang hanya berumur enam tahun, berjaya menyelamatkan nyawa tiga adiknya apabila rumah papan yang didiami mereka terbakar di Kampong Tanjong Mas di sini, hari ini.

Dalam kebakaran kira-kira 1.30 tengah hari itu yang memusnahkan dua buah rumah, Afiq Hadi telah mendukung keluar ketiga-tiga adiknya iaitu, Alif Hazim, 5, Aufa Imtiyaz, 3, dan Aqil Imtiyaz, setahun,

Bagaimanapun Alif Hazim cedera ringan apabila bahu kanannya melecur semasa didukung keluar oleh abangnya.

Ibu kanak-kanak berkenaan, Wan Syarifah Shahrizat Wan Idris, 37, berkata ketika kejadian dia meninggalkan keempat-empat anaknya di rumah untuk mengambil anak sulungnya, Alia Insyirah, 8, di Sekolah Kebangsaan Chempaka dengan motosikal.

“Belum pun sampai ke sekolah, saya nampak kepulan asap hitam yang tinggi, kira-kira 100 meter dari rumah dan terus berpatah balik kerana bimbangkan keadaan anak-anak yang ditinggalkan,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di tempat kejadian.

Beliau bersyukur kerana kesemua anak-anaknya selamat, walaupun rumah dan kereta yang diparkir di tepi rumah tidak dapat diselamatkan.

Pemilik sebuah lagi rumah yang turut musnah dalam kebakaran itu, Nur Aini Awang Mat, 50, berkata dia menyedari mengenai kebakaran tersebut apabila mendengar jeritan daripada jiran-jiran lalu membuka jendela untuk melihat keadaan yang berlaku dan mendapati api sedang marak di rumah jiran sebelah.

Beliau, yang keluar dari rumah sehelai sepinggang, berkata rumahnya musnah dengan sekelip mata sahaja.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kota Baharu Mohd Sabri Ismail berkata pihakbomba menerima panggilan pada kira-kira 1.57 tengah hari dan bergegas ke tempat kejadian bersama lima jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Kota Baharu dan Pengkalan Chepa.

“Pihak bomba tiba lebih kurang lima minit kemudian dengan kekuatan 21 anggota dan api telahpun marak dengan cepat, namun pihak bomba berjaya mengawal kebakaran tersebut,” katanya.

Beliau berkata ketika pihak bomba tiba di tempat kejadian, hampir 90 peratus rumah terbabit hangus dijilat api dan menurutnya punca kebakaran dan kerugian sedang disiasat. – Bernama

Loading...

Add a Comment